Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023

Pada 18 Julai 2023 (Selasa), Jabatan Penerangan Malaysia telah datang ke Sekolah Menengah Han Chiang dari pukul 9.45 pagi hingga 11.30 pagi untuk mengadakan program “Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023”. Tujuan aktiviti tersebut adalah untuk menggalakkan semangat patriotisme dan memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan para pelajar. Ini merupakan “Checkpoint Kedua” Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang iaitu di Sekolah Menangah Han Chiang, Daerah Timur Laut. Sebanyak 28 buah motosikal besar dan kereta yang dihiasi dengan cantik datang ke Sekolah Menengah Han Chiang sempena Hari Kemerdekaan. Pelajar-pelajar dari SJKC Han Chiang, Sekolah Menengah Han Chiang dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang menyambut kedatangan konvoi KMJG 2023 dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Sebanyak 700 orang murid telah mengambil bahagian dalam program tersebut.
Pengetua Sekolah Menengah Han Chiang, Puan Kung Bee Lee telah menyampaikan ucapan alu-aluan bahawa Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Daerah Timur Laut 2023 bertemakan Malaysia MADANI, “Tekad Perpaduan Penuhi Harapan!”. Tema ini mendasari tekad pemimpin bersama rakyat bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai semangat perpaduan. Inilah ialah kali pertama Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang bekerjasama dengan institusi pendidikan swasta dalam menjayakan aktiviti tersebut. Institusi pendidikan amat penting untuk melahirkan generasi pemimpin yang cemerlang dan tidak terhad kepada buku teks dan peperiksaan, malah meliputi pendekatan holistik yang memupuk pemikiran kritis, empati dan rasa tanggungjawab.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa peranan institusi pendidikan dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan para pelajar termasuk mengadakan pelbagai aktiviti menjelang Hari Kebangsaan seperti menghias kawasan persekitaran sekolah dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta mengadakan pertandingan melukis poster dan bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang untuk menjayakan Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Daerah Timur Laut 2023. Akhirnya, beliau berharap agar bersama-samalah kita menyemarakkan semangat perpaduan dengan menghulurkan tangan membantu mereka yang memerlukannya untuk melahirkan masyarakat Madani.
Kemudian, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut (Sektor Pembangunan Murid), Encik Mohd Mursalin Bin Ramli menyampaikan ucapan perasmian. Beliau menyatakan bahawa, perpaduan adalah nikmat yang tidak ternilai harganya, kerana ianya adalah teras pembentukan sesebuah negara yang utuh dan berjaya. Dia menyeru kepada semua teruslah berpegang kepada Prinsip Rukun Negara kerana di situlah tertanamnya asas jati diri, asas perpaduan, asas kemakmuran, asas hormat menghormati dan asas kejayaan negara kita. Beliau menyatakan generasi muda pasti menganggap merdeka itu adalah bebas daripada cengkaman penjajahan namun erti sebenar kemerdekaan pada generasi kini adalah kemerdekaan jiwa dan minda yang mana harus dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk melalui empat aspek utama, iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa kerana generasi muda berhadapan ancaman penjajahan dari segi bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.
Seterusnya, Encik Mohd Mursalin Bin Ramli berharap agar semangat cintakan negara ini tidak akan berakhir setelah berakhirnya sambutan Bulan Kebangsaan ini kerana dengan nikmat kemerdekaan rakyat di negara ini hidup dengan selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalinkan hubungan sekaligus perpaduan kaum. Oleh itu pupuk dan pelihara semangat MADANI dalam diri kita semua agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad dan nyawa menjadi pertaruhan.
Dif-dif kehormat yang hadir termasuk Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang Merangkap Ketua Konvoi KMJG Negeri Pulau Pinang – Yang Berusaha Encik Sabri Bin Said, Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Timur Laut – Tuan Rosli Bin Halim, Timbalan Pegawai Pendidikan, Daerah Timur Laut (Sektor Pembangunan Murid) – Encik Mohd Mursalin Bin Ramli, Penolong Setiausaha Lembaga Pengarah Institusi Han Chiang – Encik Ooi Hooi Hiong, Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang terdiri daripada 66 orang peserta – Konvoi, Naib Canselor, Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang – Dr. James Beh Kok Hooi dan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Han Chiang – Puan Ong Ai Leng.
Comments for this post are closed.